Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika program ceramah Pentas Angkatan Muda KEADILAN di Tapak Pasar PJS 2, Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Negara tidak lagi boleh dipimpin perasuah, salah guna kuasa

PETALING JAYA, 29 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasan negara tidak sepatutnya dipimpin individu terpalit salah guna kuasa dan rasuah.

Justeru, ketua pembangkang berkata pihaknya berusaha meyakinkan rakyat supaya memilih pemimpin yang menolak sekeras-kerasnya amalan terbabit.

“Bagaimana kita boleh yakinkan bahawa negara ini harus dipimpin oleh orang yang tolak rasuah? Yang tidak akan guna ini untuk takbur, tunjuk kesombongan dan keangkuhan dia?

“Itulah yang saya cuba. Memang tidak semua orang boleh setuju tetapi kita kena tengok siapa yang betul-betul tidak setuju,” katanya pada program Sembang Kencang Kelab Wartawan Kuala Lumpur@DSAI di Hotel Hilton dekat sini malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengakui masih mempunyai hubungan baik dengan bekas ahli parti dan pemimpin Umno hingga kurang disenangi anggota lain.

“Saya kalau jumpa (Dato’ Seri Mohamed) Azmin (Ali), saya masih menegur dia seperti biasa. Tanya keluarga, anak. Kadang-kadang kawan saya tidak suka tetapi ini soal kemanusiaan.

“Sama seperti Datuk Seri Najib Razak. Bila ke kantin, orang kata tengoklah orang ini dengan penyamun. Saya kata kita perlu guna cara kemanusiaan. Biar tindakan diambil atas kerosakan dibuat, penindasan dan permasalahan terhadap rakyat,” kata Anwar.

 


Pengarang :