DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi kata-kata semangat kepada atlet Selangor pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Selangor ke Sukan Sea dan Sukan Komanwel 2022 di Istana Alam Shah, Klang pada 6 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Atlet hargai insentif khas negeri, beri motivasi terus cemerlang

KLANG, 7 SEPT: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, M Thinaah menyifatkan pemberian insentif khas kepada atlet memberi motivasi untuk terus cemerlang dalam sukan diceburi.

Pemain badminton yang menerima sebanyak RM23,000 berkata sumbangan itu menyemarakkan lagi semangatnya berlatih dalam menghadapi perlawanan akan datang.

Atlet badminton negara, M Thinaah

“Buat masa ini, saya hanya fokus berlatih secara individu dalam meningkatkan prestasi diri sebelum ke perlawanan terbuka di Denmark dan Perancis bulan depan kerana pasangan cedera.

“Saya berharap pasangan beregu, Pearly Tan segera sembuh daripada kecederaan kerana itu paling penting. Tempoh pemulihan Pearly dijangka mengambil masa empat ke enam minggu,” katanya.

Thinaah, 24, antara 28 atlet Selangor yang menerima insentif khas sebanyak RM92,900 selepas berjaya menyumbang pingat buat Kontinjen Malaysia dalam Sukan Sea Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham.

Pemberian sumbangan kepada kesemua atlet disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Istana Alam Shah di sini semalam.

Atlet ping pong negara Choong Javen

Sementara itu, pemenang pingat perak di Sukan Komanwel bagi sukan ping pong, Choong Javen tidak menjangka menerima insentif bernilai RM13,000 kerana hanya memfokus kepada perlawanan sahaja.

“Saya tidak sangka tetapi gembira menerima insentif. Ketika perlawanan, saya hanya fokus kepada ‘game’ sahaja dan terkejut juga dapat sumbang pingat kepada negara.

“Pemberian insentif ini amat dihargai dan beri dorongan supaya terus bersungguh-sungguh pada perlawanan akan datang serta beri pingat emas kepada Malaysia,” katanya.

Atlet olahraga negara Muhammad Ziyad Zolkefli

Penyumbang pingat gangsa sukan olahraga di Sukan Sea, Muhammad Ziyad Zolkefli bersyukur kerana Kerajaan Negeri memberi insentif kepada atlet Selangor.

“Insentif ini serba sedikit memberi motivasi kepada atlet terus berjuang dalam sukan supaya lebih maju dalam sukan sekaligus mencapai ke peringkat lebih tinggi.

“Perancangan tahun ini selesai dan tiada ‘game’, hanya fokus kepada beberapa temasya besar pada tahun depan bermula Mei,” katanya yang berasal dari Gombak.


Pengarang :