Persembahan khas Datuk Awie, Jaclyn Victor dan Amir Masdi menjadi tumpuan upacara perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi. Foto Facebook Pusat Kebudayaan UKM
AGENDANASIONAL

Awie, Jaclyn Victor dan Amir Masdi hangatkan perasmian SUKMA ke-20

BANGI, 18 SEPT: Persembahan khas Datuk Awie, Jaclyn Victor dan Amir Masdi menjadi tumpuan upacara perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Amir Masdi, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, Awie (Datuk Ahmad Azhar Othman) dan Jaclyn telah melonjakkan semangat ahli kontinjen yang hadir dengan persembahan lagu ‘Demi Malaysia’ diikuti laungan Demi Malaysia pada klimaks majlis itu.

Upacara bermula dengan juara bertahan Terengganu mengetuai perarakan masuk lebih 800 atlet dan pegawai mewakili kesemua 15 kontinjen termasuk Brunei yang disambut dengan sorakan gemuruh para hadirin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian merasmikan temasya sukan itu yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 24 Sept ini.

Selepas itu, bekas atlet wira-wirawati Sukma iaitu pemenang emas angkat berat Sukan Komanwel Aznil Bidin, Ng Joe Ee (emas gimrama Komanwel), R. Sharmendran (tiga emas karate Sukan SEA) dan Choong Javen (gangsa ping pong Komanwel) membawa serta menaikkan bendera temasya yang diikuti bacaan ikrar.

Sejurus selepas itu, legenda ratu tenpin boling negara Shalin Zulkifli, Olahragawati Harapan Sukma 1992 serta Olahragawati Kebangsaan 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002, menyalakan obor yang diletakkan di tengah-tengah dewan.

Diadakan di dalam dewan tertutup berbanding stadium terbuka, persembahan bunga api memukau yang selalunya menjadi tarikan utama kali ini digantikan dengan pelbagai persembahan menarik dan futuristik termasuk tarian LED serta pukulan dram yang mengegarkan dewan.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Seramai 6,652 atlet dan 2,709 pegawai daripada 15 kontinjen akan memburu 426 pingat emas yang ditawarkan menerusi 31 jenis sukan sepanjang temasya itu berlangsung.

Ini kali pertama temasya dwitahunan itu diadakan sejak edisi Perak 2018 selepas Sukma 2020 Johor dibatalkan susulan pandemik Covid-19. Namun Johor akan menganjurkan Sukma pada 2024.

Terengganu muncul juara Sukma buat kali kelima pada edisi 2018 selepas merangkul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa daripada 427 acara yang dipertanding manakala Wilayah Persekutuan (52-38-50) serta juara edisi 2016 Selangor (47-68-67) menamatkan saingan di kedudukan kedua dan ketiga.

Pada edisi kali ini, sejak temasya itu bermula Rabu lepas, Johor berada di kedudukan teratas kutipan pingat selepas meraih 18 emas, 14 perak dan enam gangsa setakat 9.30 malam ini diikuti Sabah (11-7-10), Terengganu (10-9-5) dan Melaka (9-7-6).

– BERNAMA


Pengarang :