Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin (dua, kanan) berada di lokasi banjir untuk memantau dan menyelaras pengurusan pusat pemindahan sementara serta bantuan yang diperlukan penduduk setempat pada 28 September 2022. Foto Facebook Pejabat Daerah/Tanah Klang
AGENDANASIONAL

Bah di Klang, 18 mangsa ke pusat pemindahan sementara

SHAH ALAM, 28 SEPT: Sebanyak 18 mangsa banjir dari tiga keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Nurul Ulum, Sungai Sireh Tambahan 2, Klang sejak pagi tadi.

Menurut Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin, mangsa masing-masing sembilan lelaki dan perempuan didaftar dan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat, lapor Harian Metro.

“Ada juga mangsa yang berpindah ke rumah keluarga terdekat dan ada tidak berpindah atas faktor keselamatan,” katanya menambah jumlah itu direkodkan sehingga 11.40 pagi.

Shahman berkata keadaan banjir terkawal dan air mulai surut setakat jam 10.30 pagi dengan dua kawasan terjejas iaitu Kampung Sungai Sireh Tambahan dan Kampung Delek.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuka dua PPS untuk menempatkan mangsa banjir yang terkesan berikutan air pasang besar mulai semalam.

Mangsa banjir yang dipindahkan meliputi Kampung Delek Baru ke Sekolah Rendah Agama Kampung Delek
dan dari Kampung Sungai Sireh Tambahan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh.

Menerusi poster yang dikongsi di Twitter Pejabat SUK Selangor semalam, bacaan paras air laut dijangka mencecah 5.3 meter dengan paras tertinggi 5.4 meter pada Rabu.

Antara lokasi yang dipantau ialah Taman Selat Damai, Pandamaran, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang dan Jeti Nelayan Pengkalan Nelayan Tok Muda di Klang.

Manakala lokasi tumpuan di Kuala Langat ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat.

 


Pengarang :