Sebahagian mangsa banjir di Kampung Jawa, Kerling menerima sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) pada 27 September 2022. Foto Facebook Lee Kee Hiong
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantuan pascabah bangkit semangat warga emas ternak semula ayam belanda

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Bantuan kewangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyuntik semangat seorang warga emas untuk kembali menternak ayam belanda yang menjadi sumber pencarian sejak sedekad lalu.

K Thana Mallai, 73, dari Kampung Kerling dekat sini berkata kesemua 25 ekor ayam belanda peliharaannya termasuk reban hanyut dibawa arus banjir yang melanda kampung terbabit pada 16 Mei lalu.

K Thana Mallai. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

“Mujur MBI datang beri bantuan RM300, saya boleh guna wang ini beli anak ayam belanda untuk dibela semula. Kalau ikut perancangan sudah tidak mahu tetapi ini sahaja pekerjaan saya boleh buat.

“Harga seekor anak ayam belanda biasanya RM15 hingga RM17, jadi wang ini cukup beli 20 ekor termasuk dedak. Perkakas untuk membina semula reban sudah ada,” katanya.

Terdahulu, beliau antara 146 keluarga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menerima bantuan disampaikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor semalam.

Program serahan di Balai Raya Kampung Jawa, Kerling di sini turut disertai wakil rakyatnya Lee Kee Hiong.

Nur Fatihah Syazziana. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara itu, seorang lagi mangsa Nur Fatihah Syazziana Shahril, 23, mahu menyimpan wang tersebut untuk kegunaan kecemasan pada masa akan datang walaupun keadaan di rumahnya masih serba kekurangan ekoran bencana.

“Terima kasih MBI kerana sudi membantu penduduk kampung. Insya-Allah ia meringankan beban terutama membeli barang keperluan. Bagaimanapun kami belum beli apa-apa malah pintu rumah juga belum dibaiki kerana terdapat ramalan banjir pada November nanti.

“Jadi seeloknya wang ini disimpan terlebih dahulu untuk keperluan akan datang,” katanya yang baharu dua tahun menetap di kampung berkenaan.


Pengarang :