ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (kanan) bertemu orang ramai sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Ehsan, Petaling Jaya pada 14 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bantuan RM3,600 setahun, 600 keluarga susah di Taman Medan terima manfaat

PETALING JAYA, 14 SEPT: Seramai 600 ketua isi rumah di DUN Taman Medan bakal menerima bantuan RM3,600 setahun menerusi inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Ahli Dewan Negeri Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata setakat ini lebih 200 keluarga sudah mendapat manfaat dengan menerima wang belanja RM300 sebulan selama setahun.

“Baki penerima sedang dikenal pasti kerana kita mahu pastikan inisiatif ini diterima oleh kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

“Insya-Allah kita akan pastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat di bawah program Bingkas,” katanya ketika ditemui di Jualan Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Ehsan, di sini hari ini.

Syamsul berkata memandangkan kebanyakan penduduk dalam kategori berpendapatan rendah (B40), beliau memohon tambahan peruntukan supaya lebih ramai dapat dibantu.

“Kita cuba mohon kuota dari DUN yang mempunyai penduduk dalam kalangan berkemampuan. Kita harap permohonan ini dibenarkan dan berjalan lancar,” katanya.

Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang  dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :