Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berbual dengan penduduk yang memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya pada 30 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Bantuan RM3,600 setahun bantu ringan beban kos sara hidup rakyat

Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk perkongsian kekayaan. Hasil diagih sama rata dengan keutamaan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Sebelum program itu dilaksana, bantuan disalur menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT). Setiap peserta menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Menyedari keperluan semasa yang semakin mendesak, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan 2022 mengumumkan penambahbaikan kepada inisiatif itu yang dijenamakan semula menjadi Bingkas.

Nilai bantuan turut ditingkat kepada RM300 sebulan atau RM3,600 setahun. Bilangan penerima juga bertambah daripada 21,000 kepada 30,000 peserta, sekali gus memanfaatkan 180,000 penerima.

Peruntukan besar RM108 juta untuk inisiatif itu membuktikan keazaman untuk menjaga kebajikan rakyat. Kumpulan berpendapatan rendah sememangnya terjejas teruk akibat kenaikan harga barang yang gagal ditangani Putrajaya.

Kerajaan Selangor lebih ke hadapan menghulurkan tangan untuk kumpulan itu berpaut. Bingkas membantu mereka sekurang- kurangnya menyediakan makanan untuk keluarga iaitu keperluan asas untuk setiap insan meneruskan kehidupan.

Bantuan RM300 itu disalur kepada peserta layak mulai Julai lalu. Peningkatan sebanyak RM100 itu tepat pada masanya. Selain berdepan masalah kenaikan harga barang, ada juga kumpulan yang baru hendak bangkit daripada dampak Covid-19.

Langkah Kerajaan Negeri menambah baik bantuan bulanan dalam Belanjawan 2022 diakui positif oleh pakar ekonomi Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

“Contohnya program Bingkas, Kerajaan Negeri membantu golongan B40 menerima bantuan RM300.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri bukan hanya memberi bantuan malah memberi ruang kepada golongan terkesan menaik taraf kehidupan dan menambah pendapatan dengan menyediakan platform perniagaan,” katanya pada Disember tahun lalu.

Penerima Bingkas, P Selvarani, 39 membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya di Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengikut data pejabat EXCO Kebajikan V Ganabatirau yang mengendalikan program itu, lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat 843 kuota penerima manakala 674 penerima di 15 kawasan. Sementara itu, seramai 337 dan 506 kuota penerima kuota masing-masing di 18 kawasan.

Bingkas membuktikan komitmen Kerajaan Selangor untuk terus memayungi golongan memerlukan saat susah dan senang. Hasil diagih kepada rakyat menerusi 44 inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang.

Untuk memohon layari laman sesawang bingkasselangor.com dan pilih kotak daftar permohonan. Turut disertakan maklumat berhubung dokumen diperlukan untuk menjadi peserta Bingkas.

Mereka boleh membeli 16 jenis barangan di premis terpilih. Antara makanan asas boleh dibeli ialah beras, mi, telur dan minyak masak.

Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil serta bersekolah, lampin pakai buang, susu tepung, barangan sekolah dan buku juga boleh dibeli menggunakan kad Bingkas.

Pembayaran menggunakan e-dompet WavPay.

Info Bingkas (setakat 1 September 2022)
  • Jumlah pemohon
    Permohonan baharu 31,174
    Bekas peserta KISS 17,209
  • Proses lulus
    Permohonan baharu 17,355
    Bekas peserta KISS  3,199
  • Lulus
    Permohonan baharu  7,972
    Bekas peserta KISS  5,170
  • Rayuan
    Permohonan baharu      319
    Bekas peserta KISS  1,072
Syarat pendaftaran
  • Lahir atau bermastautin lebih 10 tahun di Selangor
  •  Pengundi di Selangor
  •  Mempunyai tanggungan berusia bawah 18 tahun
  •  Pendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan

Pengarang :