Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Bayi perempuan baru lahir ditemukan atas jalan raya

KENINGAU, 25 SEPT: Seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemukan ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau DSP Nor Rafidah Kasim berkata bayi perempuan itu, ditemukan orang awam pada pukul 1.05 pagi sebelum membuat laporan kepada pihak polis.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu pada pukul 2.38 pagi, dan siasatan awal mendapati, bayi perempuan tersebut ditemukan orang awam yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi tersebut dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga. Pengadu terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta.

“Bayi terbabit kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Rafidah berkata bayi perempuan tersebut dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu, diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-448 6747.

-BERNAMA


Pengarang :