Orang ramai memeriksa mata pada program Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Belanjawan 2023: Iltizam Selangor Sihat diperluas, Selangor Saring disusun lebih baik

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Skim Iltizam Selangor Sihat (ISS) bakal diperluas tahun hadapan menerusi Belanjawan Selangor 2023 bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat perlindungan kesihatan.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata program Selangor Saring turut ditambah baik supaya program yang ditawarkan secara percuma itu menjadi platform pendidikan kesihatan awam.

“ISS ini memberi manfaat besar kepada penduduk kerana menyediakan perlindungan takaful sekali gus menjaga kebajikan waris peserta. Jadi kita akan tambah jumlah peserta supaya lebih ramai terima manfaat.

“Selangor Saring akan diteruskan dengan penambahbaikan. Tahun ini dijadikan projek rintis, sudah pasti kita mahu lebih baik tahun seterusnya supaya masyarakat sedar kepentingan menjaga kesihatan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang belanjawan tahunan di Dewan Negeri Selangor pada 28 Oktober.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan Facebook Media Selangor (www.facebook.com/MediaSelangor).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bergambar bersama penerima selepas majlis penyerahan Iltizam Sihat Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

ISS mula diperkenal pada 2 Julai mensasarkan 100,000 penduduk menerima manfaat membabitkan peruntukan sekitar RM67 juta bawah kluster kesihatan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Selain ISS dan Saring Selangor, beberapa lagi program lain turut terkandung dalam ISP iaitu Skim Rawatan Jantung, Bantuan Sihat Selangor, Saringan Barah, Nutrisi Makanan Kanak-kanak, Cakna Kesihatan Mental, Rawatan Tuberculosis, Pemeriksaan Kesihatan Mata dan Skim Kesihatan Wanita.

Bagi menjayakan Selangor Saring, sejumlah RM3.4 juta disalurkan yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, barah servik, payu dara dan prostat selain ujian darah najis okulta atau kolorektal.

 


Pengarang :