EXCO Pembangunan Wanita Dr Siti Mariah Mahmud (duduk, tengah) bergambar bersama peserta Bengkel Rangkaian Kepimpinan Global Wanita Asia di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada 30 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bengkel pimpinan wanita asah bakat politik, lahir pelapis berwawasan

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Seramai 28 wanita termasuk dari parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) menyertai Bengkel Rangkaian Kepimpinan Global Wanita Asia anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) hari ini.

EXCO pembangunan wanita berkata program dengan kerjasama The Sasakawa Peace Foundation dari Jepun membolehkan peserta mengasah kemahiran berpolitik yang disampaikan penceramah dari dalam dan luar negara.

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan program tersebut juga bertujuan melahirkan bakal pemimpin dengan visi progresif serta berwawasan untuk pembangunan negara.

“Penceramah terlibat dalam program ini terdiri pakar politik berpengalaman, aktivis dan ahli akademik. Mereka akan berkongsi pelbagai ilmu yang boleh dimanfaatkan peserta,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan program berkenaan yang berlangsung tiga hari mulai hari ini di Hotel Intercontinental, di sini.

Penganjuran kali ketiga sejak dilancar pada 2020 itu akan diteruskan secara dalam talian selama tiga bulan mulai November hingga Januari tahun depan.


Pengarang :