Barisan kejurulatihan skuad bawah 23 tahun negara (dari kiri) Lee Jeyoon (jurulatih analisis prestasi), Juan Torres Garrido (penolong jurulatih), E Elavarasan (ketua jurulatih), Kris Yong Wai Hwang (jurulatih penjaga gol) dan Park Ji Hyeon (jurulatih kecergasan). Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Bola sepak: Elavarasan dilantik ketua jurulatih bawah 23 tahun negara

PETALING JAYA, 1 SEPT: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan pembantu ketua jurulatih pasukan negara E.Elavarasan sebagai ketua jurulatih skuad bawah-23 (B-23) kebangsaan yang baharu.

Elavarasan akan dibantu Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai pembantu ketua jurulatih, jurulatih tempatan Kris Yong (jurulatih penjaga gol) dan dua jurulatih Korea Selatan iaitu Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lee Jeyoon sebagai jurulatih analisa persembahan.

“Saya berbesar hati menerima tugas yang tidak mudah dilaksanakan ini, terima kasih kepada Presiden FAM yang percaya kepada keupayaan kami dan juga terima kasih kepada jurulatih Kim (ketua jurulatih negara Kim Pan Gon),” katanya pada sidang media di Wisma FAM hari ini.

Mengulas dua peranan yang digalasnya kini, anak kelahiran Selangor berusia 60 tahun itu berkata beliau bersedia untuk memberi yang terbaik dalam membantu Pan Gon mengumpul pemain terhebat ke dalam skuad senior dan pada masa sama menyediakan pemain muda berkualiti.

Bekas jurulatih PDRM FC dan Sarawak United FC itu berkata bagi mendapatkan pemain berkualiti tinggi, beliau dan kakitangan kejurulatihannya akan memberi fokus yang lebih komprehensif dalam mengenal pasti pemain berbakat.

“Mengenal pasti bakat-bakat ini sangat penting untuk masa depan pasukan kebangsaan kerana asas pemain adalah bakat yang kita ada dari pasukan B-23 negara, jadi ia satu tugas yang besar,” katanya.

Justeru beliau berharap semua pihak termasuk kelab boleh memberi kerjasama dengan melepaskan pemain mereka yang diperlukan untuk tugasan dengan skuad B-23.

Elavarasan turut teruja untuk membimbing skuad itu ke Sukan Olimpik 2024 di Paris yang disifatkannya sebagai tugas yang mencabar.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell berkata pelantikan Elavarasan adalah bagi memastikan kedua-dua pasukan menggunakan pendekatan yang sama dalam permainan.

“Pada pandangan saya pelantikan Elavarasan selari dengan gaya permainan dan falsafah pasukan pertama.. tugas utamanya ialah memastikan terdapat kumpulan pemain yang lebih besar untuk dipilih oleh Pan Gon. Itulah sebabnya kami melantik beliau sebagai ketua jurulatih,” katanya.

Elavarasan, yang dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih skuad nasional Mac lepas, memainkan peranan dalam kejayaan pasukan Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun layak ke Piala Asia 2023 pada Jun.

Pelantikannya mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih B-23 Brad Maloney selepas warga Australia itu meninggalkan FAM secara persetujuan bersama, Julai lepas.

— BERNAMA

 


Pengarang :