Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor memberi taklimat pengurusan bencana ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bomba saran setiap individu sedia beg berisi keperluan hadapi banjir

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 1,700 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor termasuk sukarelawan sedia digerakkan bagi menghadapi Monsun Timur Laut atau air pasang besar.

Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata bomba juga sudah menyiapkan kelengkapan menyelamat termasuk membuat pembaikan segera peralatan dan aset yang rosak.

“Bomba sentiasa bersedia supaya kejadian sama tidak berulang termasuk bantuan daripada negeri lain.

“Contohnya, kejadian banjir tahun lalu, kita menerima bantuan keanggotaan termasuk logistik dari Perak, Pahang, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau ditemui pada Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Tambahnya, bomba turut menyarankan setiap individu menyediakan satu beg dilengkapi dengan keperluan bagi menghadapi bencana banjir.

Jelasnya, beg ‘ready to go’ itu dilengkapi dengan keperluan iaitu pakaian, makanan dan bank kuasa (power bank) yang mampu menampung sekurang-kurangnya dua hari.

“Kita perlu didik masyarakat supaya sentiasa bersedia sekiranya berlaku bencana dengan menyediakan beg berisi keperluan. Selain pakaian, mereka juga perlu letakkan makanan secukupnya, lampu suluh termasuk bank kuasa.

“Setiap individu perlu ada satu beg begitu juga kanak-kanak yang mampu dibawa golongan tersebut. Bagi anak kecil pula, ibu bapa boleh letakkan juga keperluan mereka dalam beg yang sama,” katanya.

Nadma melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenaraikan adalah Hulu Selangor.


Pengarang :