Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kiri) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Seminar Keselamatan Kebakaran di Seremban pada 2 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba tambah anggota, siap siaga hadapi banjir

KUANTAN, 13 SEPT: Seramai 12,500 anggota operasi daripada 332 balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seluruh negara, diarah untuk bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir pada Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata selain jumlah anggota operasi, jabatan itu akan diperkasakan dengan bantuan 3,200 anggota yang bertugas pada waktu pejabat seperti Pegawai Pengkuatkuasa, Pegawai Pemeriksaan Bangunan, Pegawai Latihan, Pegawai Penyelidik dan anggota di Akademik Bomba dan Kejuruteraan.

“Bagi anggota yang bertugas pada waktu pejabat kita akan menggerakkan mereka sebagai ‘on call’ untuk membantu anggota yang memang bertugas 24 jam dalam operasi.

“Di samping itu, persiapan juga melibatkan 1,800 aset yang membabitkan 1,400 kenderaan darat, 400 peralatan logistik air dan lapan aset udara yang berpangkalan Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Pahang tahun 2021 di sini hari ini.

Bagi memantapkan persediaan, Mohammad Hamdan berkata pihak akan turut mengumpulkan maklumat tempat tumpuan mudah banjir dari semua negeri, supaya tumpuan keanggotan serta aset dapat diberikan ke lokasi sewajarnya.

Selain itu, perancangan pergerakan anggota dan aset ke kawasan yang tidak dijangka akan mengalami banjir teruk juga dilakukan sebagai langkah berwaspada.

Seperti contoh di Pahang, Mohammad Hamdan berkata Maran dan Bentong yang sebelum ini dilihat sebagai kawasan yang kurang terjejas, namun keadaan berbeza pada musim banjir lepas yang menyaksikan dua daerah itu terjejas teruk.

Sehubungan itu, langkah persediaan dilakukan supaya bantuan segera dapat diberikan jika kawasan tersebut banjir, bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

– BERNAMA


Pengarang :