Orang ramai memanfaatkan cuti umum berkelah bersama keluarga di tapak BoomTown, Klang ketika tinjauan pada 16 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

BoomTown@Klang tawar pelbagai aktiviti riadah, jana ekonomi usahawan kecil

KLANG, 17 SEPT: Padang Laman Seni di Jalan Tengku Diaudin di sini, yang sebelum ini terbiar sepi kini meriah dengan penganjuran BoomTown@Klang.

Bermula bulan lalu, orang ramai kini boleh bersantai bersama keluarga setiap Jumaat hingga Ahad bermula jam 5 petang hingga tengah malam dengan pelbagai aktiviti riadah.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata inisiatif Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu wajar dicontohi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor, sekali gus mengangkat seni kebudayaan dan aktiviti pelancongan negeri.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (kanan) bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan (kiri) merakam gambar berlatarbelakang lukisan mural burung hantu dan ayam di Laman Seni Safari Klang pada 16 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya lihat program ini sangat baik sekali kerana MPK memanfaatkan ruang sedia ada bagi tujuan riadah dan aktiviti keluarga.

“Dalam masa yang sama, ia juga membantu menjana ekonomi kepada usahawan kecil yang terjejas akibat pandemik sebelum ini,” kata Borhan Aman Shah selepas melawat BoomTown@Klang, semalam.

Pengunjung BoomTown@Klang juga boleh menikmati karya mural di Laman Seni Safari dan keindahan Laluan Warisan Diraja Klang (Royal Klang Heritage Walk) di kawasan sekitar.

Terletak berhadapan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, ia menawarkan lebih 20 gerai makanan yang dihidangkan secara ala berkelah.

Gelagat pengunjung merakam foto berlatarbelakang lukisan mural berlampu yang menjadi tarikan terbaharu di Laman Seni Safari Klang ketika tinjauan pada 16 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :