SHAH ALAM, 28 SEPT: Setiap cadangan peserta Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor akan dipertimbang dan diperhalusi Kerajaan Negeri sebelum dijadikan panduan dalam mengurus bencana.
Setiausaha bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata input dari peserta berpengalaman dilapangan amat diperlukan dalam menghasilkan tatacara operasi piawai (SOP) rasmi yang lebih sistematik dan menyeluruh.
“Sesi petang ini lebih kepada sesi perbincangan serta penambahbaikan yang secara tidak langsung ia sebenarnya berdasarkan pengalaman mereka di lapangan.
“Sekiranya idea atau pandangan mereka beri kebaikan dalam pengurusan bencana, ia akan dijadikan sebagai SOP rasmi atau garis panduan untuk semua agensi,” kata Muhamad Shah Osmin ketika ditemui di program berkenaan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.
Tambahnya, lima elemen atau kajian kes dalam pengurusan bencana dibincang dalam sesi taklimat tersebut iaitu Pusat Kawalan Operasi Bencana (POKB), Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Pusat Pemindahan Sementara (PPS), operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mangsa tidak berpindah.
“Semua peserta mengambil bahagian dan menjadikan musibah banjir yang berlaku tahun lalu sebagai pelajaran dan lebih bersedia menghadapinya pada kali ini,” katanya.
Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor berlangsung selama dua hari sehingga esok melibatkan 343 peserta daripada 67 agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.
Simulasi itu diadakan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir antaranya berkaitan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.