Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merakam lokasi kejadian menggunakan drone pada operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada 8 Mac lalu. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Cebisan tulang, baju ditemukan di lokasi pekerja kuari dikhuatiri tertimbus

IPOH, 20 SEPT: Cebisan tulang dan baju serta bangkai jengkaut ditemukan hari ini di lokasi dua pekerja kuari yang dikhuatiri tertimbus pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak Azmi Osman berkata bangkai jengkaut itu ditemukan pasukan pencari dan penyelamat melibatkan pihaknya, polis dan juga pasukan Jabatan Mineral dan Geosains pada 11.45 pagi tadi manakala cebisan tulang dan baju ditemukan kira-kira setengah jam kemudian.

“Bangkai jengkaut serta cebisan baju tulang dan baju pada kedalaman 10 hingga 15 kaki (3.05 hingga 4.6 meter) pada jarak titik pencarian sebelum ini.

Cebisan tulang dan baju yang ditemukan itu masih belum dapat dipastikan milik siapa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari yang dipercayai tertimbus runtuhan batu dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja pencarian sedang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :