Peniaga Zara Sushi dan Nasi Lemak Mohd Syauqi Mustapa menunjukkan hidangan sushi nasi lemak yang menggabungkan identiti makanan Jepun dan Malaysia dengan meletakkan sushi dengan inti sambal, ikan bilis, kacang dan telur rebus pada Karnival Nasi Lemak Murai.my di pasar raya Mydin pada 24 Sept 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Cipta kelainan, peniaga jual sushi berinti sambal nasi lemak

SUBANG JAYA, 24 SEPT: Sekali pandang hidangan ini kelihatan seperti sushi biasa, namun apabila diteliti, keunikan terletak pada intinya ya ng serupa dengan makanan tradisi nasi lemak.

Peniaga Mohd Syauqi Mustapa, 42, berkata idea untuk menggabungkan identiti makanan Jepun dan Malaysia dengan meletakkan inti seperti sambal, ikan bilis, kacang dan telur rebus itu, tercetus atas permintaan pelanggan.

“Pada mulanya saya menjual sushi dan juga nasi lemak bungkus daun pisang di gerai.

“Mungkin sebab letak kedua makanan bersebelahan, ramai minta kami jual sushi mengikut ‘tekak’ (selera) Malaysia ini,” katanya ketika ditemui pada Karnival Nasi Lemak Murai.my berlangsung di pasar raya Mydin di sini hari ini.

Mohd Syauqi yang mula memperkenalkan hidangan itu pada Mac tahun ini berkata hidangan tersebut mempunyai lima variasi sambal dan jenis sushi berbeza termasuk sambal tumis udang, ikan bilis dan rendang dengan harga antara RM1.20 hingga RM2.50.

Beliau berkata makanan tersebut mendapat sambutan hangat pelanggan dan mampu dijual sekitar 1,500 unit sehari di tiga gerai dan sebuah restoran dinamakan Zara Sushi dan Nasi Lemak, terletak di sekitar ibu negara antaranya di Dataran Pandan Prima dan Setapak Jaya.

Sementara itu, penganjur acara Shahful Shaffiq Mohd Salleh berkata program sehari bermula 9 pagi hingga 5 petang itu, mengumpulkan lapan vendor yang mengusahakan nasi lemak bagi mempromosi dan meraikan makanan yang menjadi identiti serta lambang perpaduan masyarakat berbilang kaum dan bangsa di negara ini.

Katanya, matlamat program antara lain untuk menjadikan makanan sebagai medium menyatupadukan kepelbagaian bangsa di Malaysia, terutama pada kehangatan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang disambut 16 Sept lepas.

“Rakyat Malaysia tak kira bangsa memang sinonim dan suka nasi lemak, jadi kita kumpulkan peniaga terkenal bertapak sekitar Lembah Klang yang menawarkan makanan sama (nasi lemak) tapi rasa berbeza dan mempunyai keunikan masing-masing,” katanya yang berhasrat menganjurkan acara serupa pada skala lebih besar pada masa akan datang.

Shahful Shaffiq berkata selain masyarakat tempatan, acara itu juga diharap mampu menarik perhatian pelancong dari luar negara, untuk mencuba sendiri keunikan makanan yang menjadi kebanggaan negara itu.

Selain jualan makanan, acara juga dimeriahkan demo masakan oleh Chef Dr Ezani Farhana Md Monoto serta persembahan daripada penyanyi muda yang semakin meningkat naik Aisha Retno.

-BERNAMA


Pengarang :