Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dakwaan culik murid, KPM tunggu laporan terperinci

SUNGAI PETANI, 27 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan terperinci berhubung dakwaan kes cubaan menculik murid di Kelantan yang tular baru-baru ini, sebelum mengambil tindakan lanjut.

Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon berkata KPM tidak mahu membuat sebarang ulasan berhubung kes tersebut sehingga laporan itu diterima.

“Kita tunggu laporan yang terperinci sebelum kita komen lebih lanjut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan kementerian memasang kamera litar tertutup (CCTV) di pintu pagar utama atau pondok pengawal keselamatan di sekolah untuk memantau kejadian atau cubaan menculik murid di sekolah.

Polis Kelantan pada 22 Sept lepas dan semalam, dilaporkan menyiasat dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah, di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Media turut melaporkan Polis Perak menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes tular berhubung cubaan menculik murid sekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Taman Pinji Mewah, Ipoh pada 23 Sept.

Dalam pada itu, Dr Mah berkata Program Susu Sekolah (PSS) yang diteruskan menerusi Rancangan Makanan Rambahan (RMT) sejak April lepas, telah memberi manfaat kepada kira-kira 800,000 murid sekolah rendah di seluruh negara.

“Kempen galakkan minum susu segar, akan ambil sedikit masa..selepas beberapa tahun kita laksanakannya, kita lihat minat murid untuk minum susu segar semakin meningkat, ini adalah petanda yang cukup baik sebab kita tahu bahawa khasiat yang ada dalam susu segar ini sangat tinggi,” katanya.

Katanya, PSS yang dilaksanakan secara tender terbuka bermula April 2022 sehingga Mac 2023, membolehkan pengilang susu tempatan untuk membekalkan susu terus kepada sekolah dan murid sekolah rendah di seluruh negara.

“Menerusi tender terbuka, sudah tentunya dari segi keberkesanan penyampaian dan pencapaian anak murid kita untuk menerima bantuan RMT dan susu ini akan bertambah baik. Tetapi saya nak tekankan di sini selama ini pun, KPM sentiasa memastikan bekalan susu sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

PSS yang dilaksanakan serentak dengan program RMT pada tahun 1983, merupakan program bagi meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan dalam kalangan murid sekolah rendah bagi memastikan pertumbuhan fizikal, mental dan kesihatan yang sempurna.

Tiga syarikat pembekal utama yang dipilih menerusi tender terbuka bagi membekalkan susu ke sekolah-sekolah adalah Farm Fresh Bhd (FFB), Dutch Lady Mild Industries (DLMI) dan Sabah International Diaries (SID).

– BERNAMA


Pengarang :