BUDAYARENCANA

Dalam koma

Oleh Shahril Anuar

Tiga minggu sudah berlalu sejak peluru yang terbenam dalam tenggorokannya berjaya dikeluarkan. Namun, dia masih bergelut dengan maut.

Kaku dalam perbaringan.

x

Jam antik berdentang. Mendadak memaku langkah dan pandangan kau.

Sejak pagi kebuntuan mengitari kamar kerja, kau berharap upaya membunuh degup waktu. Namun, kembali jam keparat itu bergema. Tak ubahnya seperti semboyan petaka : Esok pasti akan tiba!

Debar di dada semula mengencang.

Seperti terpanggil, pandangan kau tertancap pada tajuk berita utama di dada akhbar yang terdampar bersandingan dulang sarapan yang langsung tak dijamah di tengah meja kerja.

Pendedahan skandal itu umpama tali gantung. Satu-persatu kelak pasti terbongkar. Geruhnya, tembok kuasa yang selama ini membentengi baru saja didobrak.

Persis didorong syaitan; seraya menyeranah, kau meluru mencekau lalu merobek akhbar itu. Sepertinya mahu melumatkan kenyataan yang terasa menjerut, kaki kau terus menghenyak carikan kertas ronyok itu. Semakin marak pula radang yang membakar dada sebaik melihat cebisan kertas yang memuat tajuk berita yang menjengkelkan itu masih jelas terpampang – seolah langsung tak terusik.

Kau memekik serentak menepis dulang sarapan hingga terpelanting membanting dinding. Namun dentingnya tenggelam dalam teriakan kau yang semakin kesurupan, bertubi-tubi pula menghempas tinju ke muka meja.

Dalam tercungap dijelejehi keringat, kau menyeringai menanggung perih luka di buku lima yang semakin koyak menganga. Serentak itu, kau mula mengesyaki keanehan waktu yang sedang kau lalui.

Bingung berbaur dongkol, kau terjelepuk menghambur tangis.

Bukan ini pengakhiran yang kau harapkan. Selama berkuasa; asal sahaja serakah terpuas, tak pernah langsung kau peduli sekotor apa pun jalan yang kau tempuh untuk menjarah kekayaan. Dengan wang, kemuliaan di mata manusia mudah diolah. Ramai sahaja pengekor yang rela bersetia melindungi selama temboloknya tak lupa kau penuhkan. Tetap juga kau didewakan orang banyak yang mudah digula-gula. Di sebalik semua itu, hari-hari yang kau jelang penuh kenikmatan yang tak mungkin disiakan. Hidup diulit kemewahan dan jamuan sambil seenaknya mengelilingi dunia. Wanita-wanita bugar begitu mudah diratah. Bahkan, adakalanya kau merasakan seisi semesta pun dapat kau takluk dengan tundingan telunjuk. Persetankan saja neraka. Taubat boleh diatur – bahkan dibeli – ketika lanjut usia. Selama jiwa belum renta, biarkan saja nafsu meraja di dalam syurga yang kau bina.

Hinggalah ke saat ini, malah, satu-satunya hal yang paling kau sesalkan, semua kegemilangan itu bakal berakhir.

Kau bangun. Langsung mengheret langkah menuju ke kerusi empuk yang selama ini menjadi singgahsana tempat mencatur segala gerak dan makar.

Buntu. Kau duduk tertunduk.

Tak akan ada jalan keluar. Mana mungkin kau sanggup mendekam dikurung penjara. Ditambah pula cacian masyarakat yang selama ini menyanjung.

Ah, semua ini harus ditamatkan!

Kau membuka laci. Dengan jari geletar mencapai sepucuk pistol yang terbaring di dalamnya. Fikiran dan pandangan terasa kelam.

Tanpa berfikir panjang, muncung pistol dikulum.

Dam!

Nafas tersekat. Kepala terkulai. Kau tak lagi menguit.

x

Ketukan pintu yang bertalu-talu mengejutkan kau. Terpisat-pisat dalam kantuk yang masih tersisa, kau kemamaian seketika. Tetapi demi terdengar suara halus meminta izin masuk, kau langsung menyahut.

Pintu terkuak lambat. Seorang perempuan manis muncul tersenyum.

Betapa kau terpana melihat susuk tubuh langsing dibalut kebaya mampir menatang dulang dengan langkah gemulai. Pandangan langsung menjilati wajah yang sepertinya pernah kau lihat, namun tak dikenali itu. Terlalu ramai perempuan yang kau gauli, namun tak pernah seorang pun yang diingati. Rela atau terpaksa, seusai dibayar, mereka harus menyingkir.

Haruman lembut menerawangi udara. Kau menelan liur basi.

Gadis itu langsung tak menggubris tatapan kau yang semakin menyala. Dengan cekatan meletakkan dulang hidangan sarapan bersama senaskah akhbar di tengah meja.

Mata bertaut. Renungan gadis itu terasa aneh menusuk, sempat juga dia tersenyum sumbing sebelum berpaling melangkah menuju pintu.

Tatapan mata kau semakin membuntang melekat pada punggung padat yang melenggang berlalu menjauh. Bayangan mesum mula menjalari fikiran. Mahu sahaja kau bingkas menerkam. Namun tetap sahaja kau duduk mematung.

Pintu terkatup.

Kau sendiri kurang pasti apa yang mencegah kau daripada melempiaskan keinginan. Selama ini, kelazatan seperti itu tak mungkin kau lewatkan.

Berat; kau menghempas keluh kesal. Cuba menghiburkan diri dengan khayalan jorok yang kembali mengocak nafsu.

Namun hanya seketika. Lamunan itu cepat membuyar sebaik kau terpandangkan pistol yang tergeletak di atas meja. Ketika menyentuhnya, kau menyedari pula ada luka yang masih merah pada empat batang jari – serentak itu juga terasa peritnya mula menyayat.

Buru-buru kau melihat sekeliling, meneliti permaidani dan dinding, namun tiada setitik pun kesan noda. Langsung sahaja kau meraba leher dan tengkuk. Tiada sebarang kesan luka mahupun kesakitan.
Ragu-ragu kau mencapai pistol, mengacukan muncungnya ke lubang hidung, menghirup nafas singkat.

Sahih. Muncungnya pekat berbau belerang.

Tergamam, segera kau menyimpan pistol di dalam laci meja. Sepertinya mahu menafikan ketakutan yang mula menghurung. Dengan fikiran yang semakin keruh, kau menggagau akhbar di pinggir dulang.

Hampir sahaja kau menjerit sebaik membaca tajuk akhbar.

Kau bangun dengan kaki menggigil, melangkah longlai dengan mulut tak henti menggugam makian. Mundar-mandir di ruang kamar kerja, sungguh-sungguh kau merasa dihukum ajal dan waktu.
Tang!

Jam antik kembali berdentang.

x

Empat tahun sudah berlalu sejak doktor menasihatkan keluarganya supaya dia dibawa pulang. Biarpun terkujur hanya tinggal kulit kecut membalut tulang, hela nafasnya tetap beralun lambat.

Dia masih dalam koma.

 


Pengarang :