Dato’ Seri Amirudin melawat tapak pameran ketika Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Hab Sekuriti Makanan Selangor Smart Agro Park di Changkat Menteri, Sabak Bernam pada 26 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Dasar pelan agro pastikan sektor tani sistematik, jamin bekalan makanan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri memperkenalkan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) sebagai garis panduan memajukan sektor pertanian secara menyeluruh dan sistematik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan bagi menjamin bekalan makanan rakyat selain meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan.

“Sebahagiannya telah bermula. Contohnya Kerajaan Negeri telah memberi peralatan, input-input pertanian dan baka ternakan serta penambahan tukun dan unjam di lautan.

“Program Pembangunan Agropreneur juga memperkasa warga agro meningkatkan hasil dan melibatkan lebih ramai orang muda,” tulisnya di Facebook hari ini.

Menurut Amirudin, PeTA juga memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan hasil tani dalam masa sama mengekalkan kelestarian alam.

“Kerajaan Negeri turut strategi pemodenan merangkumi penggunaan dron dan sistem internet segalanya (IoT). Penggunaan baja-baja organik juga boleh meningkatkan hasil dan dalam masa yang sama boleh mengekalkan kelestarian.

“Untuk para pengguna, program pemasaran juga dirangka bagi meningkatkan nilai jualan dan mengurangkan kos kepada pembeli seperti Program Selangor Agro Market (SAM),” katanya lagi.

Penggunaan dron dalam pertanian dapat meningkatkan hasil dan menambah pendapatan petani. Foto BERNAMA

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga meneroka pelancongan agro untuk meningkatkan hasil pendapatan melalui aktiviti sampingan.

“Secara umum, PeTA juga fokus sektor baru yang berupaya menghasilkan pulangan tinggi dengan kaedah moden. Banyak lagi strategi serta program yang bakal dilaksanakan.

“Kemajuan sektor pertanian dijangka memberi sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya.

Menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan, dasar PeTA meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.

Sebelum ini, Amirudin berkata tanah terbiar di seluruh negeri akan dijadikan tapak pertanian untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan menampung keperluan rakyat.

Menurutnya, tanah seluar 30 ekar di Bukit Cheeding, Banting antara yang dikenal pasti untuk diusahakan sebagai tapak tanaman kontan seperti sayuran, cili dan kelapa.


Pengarang :