BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Derita, konflik rintis kelahiran negara bangsa sebelum 1957

Kira-kira 15 tahun menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, semenanjung ini bergolak teruk. Jepun menjejakkan kaki di pantai Kelantan pada hujung 1941 sebelum bom nuklear Amerika Syarikat meranapkan nafsu perangnya.

Ketangkasan tentera ganas Negara Matahari Terbit mengejutkan Inggeris. Kuasa Barat tidak yakin Jepun boleh sepantas itu hingga Singapura menyerah kalah pada Februari 1942.

“… dari segi ekonomi, Jepun tidak mampu mengisytiharkan perang, tetapi jika ia mahu juga, tentera Britain dan Amerika di Pasifik berupaya menghalang negara itu sampai di Malaya …,” catat pengarang The Jungle is Neutral, buku klasik yang menjadi rujukan perang gerila.

F Spencer Chapman, komando Inggeris sepanjang pendudukan Jepun, menceritakan dengan perinci taktik dan teknik sabotajnya bersama gerila komunis, dibantu Melayu dan Orang Asli, di belantara Tanah Melayu.

Terbit pada 1948, The Jungle is Neutral yang turut memuatkan foto kampung dan peta pergerakan pasukan Chapman boleh dibaca dalam bahasa Melayu hujung tahun ini.

Terjemahan kisah perit dan luar biasa itu diusahakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang dibiayai Kerajaan Negeri sejak 2016. Dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Media Selangor, projek tersebut mengangkat karya besar dunia dalam bidang sejarah, falsafah, agama, sastera dan biografi.

Namun hubungan baik gerila Parti Komunis Malaya (PKM) ketika penguasaan Jepun tidak berkekalan. Pasukan itu melancarkan perang terhadap Inggeris beberapa tahun selepas Jepun berundur.

IBDE menerbitkan terjemahan The War of the Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerrillas, 1948-60 dengan judul Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 dua tahun lepas.

Karya wartawan Noel Barber itu menceritakan saat-saat getir sejak awal darurat diumumkan. Beliau menggambarkan dengan jelas lokasi dan warna negara termasuk sikap pegawai kolonial.

Walau disebut “darurat”, demi kepentingan syarikat penjajah, sengketa bersenjata itu pada hakikatnya perang yang berlarutan sehingga Tanah Melayu melaungkan kemerdekaan. Ancaman komunis dengan rasmi hanya berakhir melalui perjanjian pada 1989.

Mengorbankan ribuan nyawa, buku Perang Anjing Suruhan mengisahkan penderitaan pekerja ladang, penduduk kampung, tentera dan anggota keselamatan. Malah persaudaraan boleh berakhir di hujung senjata.

Kisah tokoh komunis Abdullah CD diserang sepupunya sendiri Yeop Mahidin di Temerloh dan kecintaan Sir Henry Gurney pada isterinya di hujung nyawa saat ditembak di Hulu Selangor sungguh menggugah perasaan.

Penyusunan semula masyarakat pinggir hutan di 450 kampung baharu, majoriti etnik Cina, bawah Pelan Sir Harold Rawdon Briggs pada 1950 diungkap dengan menarik. Taktik polis melumpuhkan gerakan komunis juga diceritakan.

Jika The Jungle is Neutral luar biasa menarik, Perang Anjing Suruhan dapat menandinginya dengan mudah. Bezanya, Chapman bertarung nyawa dan coretannya hasil pertarungan itu. Bukunya memuatkan 20 bab, sementara Barber menulis 24 bab daripada tiga fasa: komunis mengganas, mematahkan serangan dan jalan kemenangan.

Kejayaan Pelan Briggs dan angka korban darurat 12 tahun itu disampai dengan lebih lengkap dalam buku Malaya’s Secret Police, 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency.

Leon Comber, yang menyelidik dokumen sulit termasuk di Britain, meletakkan angka rasmi yang terbunuh, menyerah diri, cedera dan hilang dalam kalangan gerila, polis dan orang awam seramai 19,797 orang.

Peranan penting SB

Bakal menemui pembaca hujung tahun depan, edisi terjemahan kisah perinci pembentukan pasukan Cawangan Khas (SB) juga menyebut jumlah pertempuran menurun mendadak enam kali ganda pada 1954 berbanding empat tahun sebelumnya.

Kejayaan ini hasil penyusunan penduduk di kampung baharu yang memutuskan bekalan makanan dan menyukarkan komunikasi tentera PKM. Mereka mula mengurangkan kegiatan di bandar, sebaliknya menumpukan perhatian di hutan sehingga ancaman darurat dianggap berakhir pada 1960.

Jarang kita dapat membaca sejarah operasi, taktik dan organisasi SB, waktu awal itu dikenali Jabatan E yang diasingkan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID), pertubuhan penting mengekang kemaraan komunis.

Membaca buku Comber, selepas kegetiran pendudukan Jepun dan kesengsaraan serangan gerila, menjadikan kita lebih menghargai keberanian polis dan pengalaman risikan Inggeris. Tanpa mereka, pembaca tidak boleh membayangkan nasib Malaysia jika komunis dapat menguasai politik dan ekonomi negara menjelang kemerdekaan.

Sisi politik dan kemasyarakatan itu diolah dengan lebih mendalam melalui buku Bintang Merah di Langit Malaya, terjemahan Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation, 1941-1946.

Dibahagikan kepada dua jilid (Masyarakat majmuk di Malaya 1941 dan Persaingan merebut Malaya pascaperang), terjemahan kajian Cheah Boon Kheng itu cukup jelas menunjukkan ancaman komunis yang makin lantang membuat tuntutan apabila mereka dibenar bergerak bebas selepas Jepun.

Jilid 1 menghuraikan masyarakat pelbagai kaum menjelang penjajahan Jepun, kesan perang tersebut dan peranan PKM serta gerakan anti-Jepun. Ia juga menceritakan kebangkitan semangat merdeka dalam kalangan penduduk Melayu.

Jilid 2 pula menjelaskan suasana kacau selepas Jepun berundur, keganasan akibat kelompongan kuasa, penolakan komunis terhadap pentadbiran Inggeris dan pertikaian Melayu terhadap kuasa Barat itu.

Melengkapkan catatan Cheah, Comber memuatkan dua kajian kes menarik bagaimana SB berjaya mematahkan jaringan komunikasi PKM.

Satu kes tersebut melibatkan pemimpin wanita Lee Meng atau Lee Ten Tai yang terkenal cekap menyusup bawah tanah dengan mengendalikan maklumat strategik pergerakan tersebut. Pada Julai 1952, aktivis wanita kelahiran Canton, China ditangkap di Ipoh.

Pendek kata, keempat-empat karya era darurat tersebut sangat penting difahami bagi menyelami ancaman Jepun dan komunis yang bertarung hebat menentukan arus politik negara.

Usaha Kerajaan Negeri melalui projek terjemahan IBDE ini pasti dapat membuka mata kita babak-babak sejarah yang sering disebut-sebut tetapi gagal dihayati dengan tepat dan jelas tanpa buku yang baik.

Empat buku ini merangkumi episod 15 tahun yang getir. Keperitan zaman Jepun sudah cukup melegenda tetapi The Jungle is Neutral menambahkan lagi rasa perit itu. Bezanya, ia diolah dari sisi pandang komando di dalam hutan walau gambaran masyarakat tidak diabaikan.

Sementara Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-60 dan Bintang Merah di Langit Malaya (masing-masing terbit 2020 dan 2022) menyulam sejarah masyarakat dan politik pramerdeka dengan lebih perinci melalui kajian mendalam.

Pastinya ketiga-tiga karya ini tidak akan lengkap tanpa mengenali selok-belok operasi anggota risikan dan keselamatan dalam Malaya’s Secret Police, 1945-60: The Role of the Special Branch in the Malayan Emergency.


Pengarang :