AGENDANASIONAL

Dinding konkrit longkang dibina runtuh, buruh warga Rohingya maut

KUANTAN, 27 SEPT: Seorang pekerja kontrak warga Rohingya maut manakala dua rakannya cedera apabila dinding konkrit longkang yang dalam pembinaan runtuh dan menghempap mereka di Indera Mahkota 15, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.05 petang dan mangsa Mohd Enus Karim Ullah, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang cedera ialah Ellyas Rohsit Ullah, 31, dan Mohammad Soyat Abulhasim, 44, dengan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Siasatan awal mendapati konkrit simen setinggi 2.4 meter  runtuh dan menghempap semua mangsa yang sedang membuat longkang di sebelah konkrit tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

— BERNAMA


Pengarang :