Wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) pelbagai daerah mempamerkan produk Hasil Suri Selangor (HaSSeL) di ruang jualan Pusat Wanita Berdaya selepas merasmikan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor dan Perasmian Ekspo HaSSel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Diskriminasi tempat kerja antara cabaran wanita kekalkan kerjaya

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan terutama bidang profesional penting dalam memacu kemajuan negara, namun cabaran seperti isu diskriminasi di tempat kerja dan komitmen keluarga yang tinggi melibatkan golongan itu perlu diatasi bagi memastikan mereka kekal dalam kerjaya.

Bagi Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh, representasi wanita yang saksama di tempat kerja mampu meningkatkan produktiviti pasukan dan membawa lebih banyak keuntungan kepada sesuatu syarikat mahupun industri.

“Wanita berpendidikan tinggi adalah aset pelaburan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Negara akan mengalami kerugian apabila modal yang dilaburkan dalam bentuk pendidikan kepada wanita tidak disalurkan dengan penglibatan kerjaya.

“Perubahan paradigma terhadap diskriminasi wanita di tempat kerja perlu berubah. Ini boleh dilihat dari segi pemberian kadar gaji, jawatan dan sebagainya bagi memastikan wanita yang mempunyai profesionalisme ini tidak meninggalkan kerjaya mereka, sekali gus menarik minat golongan wanita baharu yang ingin bekerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas program Darah Muda bertajuk ‘Profesional Wanita, Hilang Dari Radar?’ terbitan Bernama TV.

Wan Izzana berkata penglibatan golongan wanita dalam sektor ekonomi gig juga dilihat penting bagi membantu golongan wanita seperti ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesara menjana pendapatan secara fleksibel.

“Industri gig ini perlu diperluaskan dalam kalangan golongan wanita atau sesiapa yang mempunyai komitmen keluarga yang tinggi. Di MDEC, kami menyedari kepentingan untuk kembangkan ekonomi gig ini dan pihak MDEC telah memperkenalkan pelbagai insiaitif untuk merealisasikannya.

“Program seperti Global Online Workforce (GLOW) yang dilaksanakan pada 2020, kini telah memanfaatkan sehingga 10,000 freelancer di Malaysia dengan menawarkan latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar berpengalaman. Saya berharap wanita di luar sana dapat ceburi bidang ekonomi gig,” katanya.

Beliau berkata pelbagai peluang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan industri tempatan yang mampu meningkatkan profesionalisme golongan wanita di dalam negara namun, hebahan secara berkesan perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

Wan Izzana berpandangan bahawa berkongsi tanggungjawab menjaga keharmonian serta peranan dalam sesebuah keluarga perlu dilaksanakan bersama antara pasangan bagi memastikan golongan wanita yang bekerjaya tidak terbeban.

“Tanggungjawab terhadap keluarga dan tekanan di tempat kerja menyebabkan ramai wanita bekerjaya memilih untuk meninggalkan profesion mereka khususnya apabila negara kini berhadapan detik mencabar iaitu fasa pascaCovid-19.

“Maka peranan menjaga keluarga seperti hantar anak ke tadika, memasak dan mengemas rumah perlu dilakukan bersama (suami dan isteri). Paradigma minda di takuk lama terhadap peranan gender perlu diubah,” katanya.

Berkongsi data yang dipetik daripada McKinsey&Company pada 2021, beliau berkata satu daripada tiga wanita ingin meninggalkan kerjaya mereka susulan keletihan melampau, dengan “burn out rate” 32 peratus direkodkan pada 2020, dan meningkat kepada 42 peratus pada 2021.

-BERNAMA


Pengarang :