AGENDANASIONAL

Dua individu direman bantu siasatan kes rasuah lebih RM10 juta

PUTRAJAYA, 7 SEPT: Seorang pengurus kewangan dan ketua bahagian pemasaran sebuah syarikat direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes memberi rasuah berjumlah lebih RM10 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman wanita dan lelaki berusia lingkungan awal 40-an itu di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 9.30 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan.

Sumber itu berkata suspek wanita yang merupakan pengurus kewangan dipercayai melakukan pembayaran rasuah untuk memudahkan urusan pengambilalihan kerja projek pembinaan sistem pengangkutan awam daripada sebuah syarikat lain kepada syarikat suspek bekerja.

Wanita terbabit yang bertanggungjawab melakukan pembayaran wang tersebut dipercayai melakukannya tanpa mematuhi prosedur kewangan dan perolehan syarikat.

Sumber SPRM itu berkata suspek lelaki pula yang merupakan ketua bahagian pemasaran syarikat sama disyaki membuat pembayaran kepada enam individu dan entiti berbeza yang disyaki palsu.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Seksyen tersebut memperuntukan kesalahan dan penalti bagi kesalahan meminta, menerima atau menawarkan rasuah bagi faedah diri sendiri atau orang lain.

– BERNAMA


Pengarang :