AGENDAJENAYAH

Dua rakan didakwa tipu skim perumahan, pelaburan babit kerugian RM326,500

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung skim perumahan dan pelaburan membabitkan kerugian RM326,500, dua tahun lepas.

Rozma Yunus, 53, dan A. Rajeswary, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Kedua-dua wanita itu didakwa menipu Mohd Rafidy Yaacob, 51, dengan cara memperdayakan mangsa dalam skim perumahan dan pelaburan yang tidak wujud, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM326,500 secara pembayaran tunai dan pindahan wang ke akaun Maybank atas nama syarikat RC Developer Resources milik mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Genting, Jalan Sultan Ismail di sini, pada 13 Jan dan 20 April 2020.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn dan Rajeswari diwakili peguam G.Alexander, manakala Rozma tidak diwakili peguam.

– BERNAMA


Pengarang :