ADN Morib Hasnul Baharuddin (dua, kanan) menyampaikan sumbangan insentif haji kepada penerima ketika Selangor Agro Market ‘Jawafest’ di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Kuala Langat pada 3 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Morib selesai agih insentif haji kepada lebih 50 jemaah

KUALA LANGAT, 3 SEPT: Hampir 50 jemaah haji sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib tahun ini menerima insentif Haji Muassasah termasuk wang tunai berjumlah RM500.

Wakil rakyat Hasnul Baharuddin berkata sumbangan disalur secara berperingkat sejak Mei dengan kumpulan terakhir melibatkan 12 jemaah menerima bantuan berkenaan hari ini.

“Semua jemaah sudah lengkap menerima bantuan masing-masing termasuk barangan keperluan diri,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau menyerahkan insentif berkenaan kepada 12 jemaah sempena perasmian program Selangor Agro Market Jawafest 2022 di Taman Sri Putra di sini hari ini.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang menunaikan haji.

Dibuka bermula 23 Mei hingga 31 Ogos, penerima layak akan menerima tunai RM500 dan kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

 


Pengarang :