Penyanyi Liza Hanim menunjukkan produk minyak wangi keluaran syarikatnya ketika Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2022 anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) , Shah Alam pada 3 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekspo usahawan anjuran PKNS beri peluang peniaga perkenal produk

SHAH ALAM, 4 SEPT: Ekspo Usahawan Selangor 2022 (SELBIZ 2022) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi peluang kepada usahawan memperkenalkan produk masing-masing.

Penyanyi Liza Hanim mengakui produk pewangi rumah, pewangi badan dan tudung menerusi jenama Hanim kurang dikenali walaupun sudah berada di pasaran sejak setahun yang lalu.

“Saya sertai SELBIZ sebab melihat usaha PKNS membantu usahawan-usahawan walaupun saya seorang selebriti tetapi dalam bidang ini saya masih baru.

“PKNS ada pelbagai program seperti ‘grow’ dan memang mereka benar-benar ingin membantu… jadi bila kita ada komuniti khususnya bersama PKNS kita dapat kembangkan lagi perniagaan apabila lebih dikenali menerusi pameran seperti ini,” katanya kepada SelangorKini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Gelisah Mimpi itu adalah antara selebriti yang terbabit dalam reruai jualan SELBIZZ 2022 yang diadakan di Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC) di sini pada semalam dan hari ini.

Antara artis lain yang terlibat termasuk Lan Solo, Syura Badron, Rozita Che Wan, Nana Mahazan dan ramai lagi.

Sementara itu, usahawan sos Peppertory, Zulaikha Suhaili berkata mahu mendapatkan maklum balas dari pelanggan dengan kadar segera antara faktor beliau menyertai SELBIZ.

“Sejak menjalankan peniagaan ini pada 2018 ini kali pertama saya sertai pameran seperti ini dan ini adalah peluang untuk tahu kehendak pelanggan terhadap produk yang kami hasilkan.

“Malah melalui SELBIZ ini juga secara tak langsung memperkenalkan lagi sos bawang putih jenama tempatan kepada orang ramai,” katanya.


Pengarang :