Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail mengadakan lawatan ke reruai pameran sempena majlis perasmian Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz) 2022 anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 3 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ekspo usahawan PKNS disertai 149 pempamer, 5,000 pengunjung

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Ekspo Usahawan Selangor (Selbiz 2022) edisi pertama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 3 dan 4 September menarik penyertaan 149 pempamer dan 5,000 pengunjung.

Dalam satu kenyataan hari ini, PKNS berkata sebanyak 48 peratus usahawan dalam industri makanan dan minuman mengisi slot pempamer diikuti usahawan industri runcit dengan 28 peratus dan baki 24 peratus daripada industri perkhidmatan.

“Ia sangat menggembirakan apabila melihat semangat keusahawanan yang dipamerkan oleh usahawan di Selbiz 2022.

“Ia salah satu komitmen kami dalam menyediakan platform sumber komprehensif untuk usahawan ini berkembang maju dalam perniagaan mereka,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Korporat dan Keusahawanan Suhaimi Kasdon.

Menurut kenyataan itu Selbiz 2022 adalah lanjutan program keusahawanan PKNS seperti Program Usahawan Perintis, Program Tunas Niaga (Protune), Program Usahawan Pelajar (PUM) dan Program Usahawan Siswazah (Grow).

Bermatlamat untuk memupuk dan membangunkan semangat keusahawanan daripada usia muda, ia berkata Program Usahawan Perintis, Protune dan Grow menyasarkan pelajar sekolah menengah, pelajar universiti serta siswazah untuk meningkatkan daya saing ekonomi di Selangor dalam jangka panjang.

Selaras dengan komitmen untuk menggalakkan pertumbuhan sosio-ekonomi negeri, PKNS telah dan terus memupuk usahawan melalui pelbagai program sejak 27 tahun lepas.

Sehingga kini, PKNS membantu lebih 41,000 pemilik perniagaan melalui program-programnya.

-BERNAMA


Pengarang :