Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melihat pelan projek tebatan banjir di Taman Melawis, Klang pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak kelam-kabut, aset menyelamat perlu siap sedia hadapi banjir

KLANG, 10 SEPTEMBER: Kerajaan Selangor berharap aset menyelamat banjir dapat bersedia lebih awal jika bencana tersebut berlaku di luar jangka seperti penghujung tahun lepas.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut akan dibangkitkan pihaknya dalam mesyuarat penyelarasan pengurusan bencana banjir yang dipengerusikan perdana menteri, Isnin ini.

“Kita kena belajar dari yang lepas misalnya alatan untuk bantuan, kita minta disediakan lebih awal tak perlu ambil masa perjalanan yang jauh.

“Sebelum ini kelam-kabut yang berlaku adalah pada hari pertama dan kedua banjir kerana banyak kawasan yang tersekat, jadi lori tidak boleh masuk, pusat pemindahan sementara (PPS) tidak dapat berfungsi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau juga berharap sekolah yang dijadikan PPS diberikan peruntukan tambahan bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa dapat disediakan kepada mangsa banjir.

Terdahulu, Amirudin meninjau projek mennaik taraf saliran dan tembatan banjir di Taman Melawis di sini.

Projek naik taraf saliran dan tebatan banjir  di kawasan berkenaan bermula pada April lalu dan dijangka siap pada April 2024.


Pengarang :