Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) dan Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi sempena Hadiah Sastera Selangor di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat buku dilancar sempena malam Hadiah Sastera Selangor

SHAH ALAM, 10 SEPT: Empat buku dilancarkan sempena malam anugerah Hadiah Sastera Selangor yang berlangsung di The Saujana Hotel di sini, malam ini.

Tiga daripada buku tersebut yang juga terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar iaitu Si Pena V yang menghimpunkan karya pemenang anugerah 2020 dan 2021.

Turut dilancarkan oleh Dato’ Seri Amirudin Shari ialah Gelagat dan Ragam Orang Melayu coretan Frank Swettenham, yang juga karya terlaris IBDE pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 serta Sejarah Selangor 1766-1939 karangan J. M. Gullick.

Buku Tunku: Kelana Penuh Cinta pula dilancarkan oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar.

Dalam majlis itu, seramai 12 pemenang anugerah untuk kategori cerpen, puisi dan esei membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM27,000.

Hadiah Sastera Selangor yang bermula sejak 2015 diperkenal Amirudin ketika menyandang jawatan EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Karya yang dinilai setiap tahun sejak tarikh itu, disiarkan dalam akhbar mingguan atau portal berita Selangorkini terbitan Media Selangor Sdn Bhd, agensi rasmi penerangan Kerajaan Negeri.

Namun mulai 2021, terbitannya diperluas ke Dewan Sastera (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi.

Usaha baharu itu sejajar cadangan kumpulan juri Hadiah Sastera Selangor 2020 seperti dibentangkan dalam majlis anugerah yang disiarkan dalam talian pada 20 Julai 2021.

Karya kumpulan pemenang tersebut turut dirakam dalam buku Si Pena setiap tahun selepas majlis anugerah dan dilancarkan pada majlis tahun berikutnya.


Pengarang :