Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Norita Mohd Sidek dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor bergambar bersama empat pemenang hadiah utama cabutan bertuah Jelajah Selangor Penyanyang (JSP) di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat pengunjung bertuah jelajah bantuan rakyat terima motosikal

SHAH ALAM, 6 SEPT: Empat pengunjung bertuah Jelajah Selangor Penyayang (JSP) siri pertama menerima hadiah utama daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Kesemua mereka menerima motosikal model Honda Wave 125i menerusi acara cabutan bertuah di JSP Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak sepanjang Jun hingga Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata kaedah pemilihan nombor cabutan bertuah itu dilakukan secara digital berdasarkan maklumat pendaftaran pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek

“Kita memperuntukkan hampir RM31,000 untuk hadiah utama ini dengan setiap motosikal berharga RM7,600 manakala hadiah-hadiah sampingan lain diberi ketika jelajah berlangsung.

“Jadi hari ini kita berpeluang menjemput kesemua pemenang hadiah utama untuk menerima motosikal masing-masing,” katanya ditemui selepas serahan hadiah itu di Bangunan Darul Ehsan di sini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sambutan acara cabutan bertuah di keempat-empat jelajah bantuan rakyat amat luar biasa apabila disertai lebih 20,000 pengunjung.

Norita tidak menolak kemungkinan menawarkan hadiah lebih lumayan kepada pengunjung dalam acara sama pada siri dua JSP yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Selain menjadi platform hebahan pelbagai inisiatif baharu Kerajaan Selangor, jelajah ini memberi ruang kepada rakyat menyertai acara menarik disediakan seperti cabutan bertuah.

“Sudah tentu acara cabutan bertuah paling dinantikan penduduk setempat, jadi kita akan teruskan dengan tawaran hadiah yang lebih besar. Tunggu dan lihat,” katanya lagi.

Disusun semula daripada Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), JSP dijayakan menerusi peruntukan RM600 juta yang membuka peluang untuk lebih ramai penduduk memperoleh manfaat Kerajaan Negeri.

Jelajah berkenaan membuka tirai pada 19 Jun di Taman Kosas Ampang Jaya diikuti Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor.

Turut diadakan di Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta Padang Awam Batu Caves Gombak.

Fasa dua JSP yang memfokuskan agenda Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan intipati Belanjawan Selangor 2023 pula membabitkan Klang, Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor.

 

 


Pengarang :