Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Meru di Taman Desa Indah, Meru, Klang pada 18 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Enam jualan murah Bukit Gasing beri manfaat kepada 1,000 penduduk

PETALING JAYA, 19 SEPT: Hampir 1,000 penduduk Bukit Gasing mendapat manfaat daripada program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sepanjang dua minggu lalu.

Wakil rakyat R Rajiv berkata jumlah itu direkodkan menerusi enam program Jualan Ehsan Rakyat sekitar DUN berkenaan dan bakal diteruskan lagi ke tiga lokasi minggu ini.

“Sejak awal bulan, kita sudah anjurkan di enam lokasi. Setiap lokasi kita jual 300 ekor ayam serta barang asas lain seperti beras, ikan, telur dan minyak.

“Semua dapat sambutan menggalakkan. Pada Khamis ini diteruskan di Kampung Damansara manakala Jumaat di Flat Bistari, Damansara dan Flat Gasing Indah. Kita harap penduduk akan manfaatkan program ini,” katanya.

Rajiv berkata pihaknya mengalu-alukan sekiranya kuantiti barangan ditambah supaya lebih ramai penduduk mendapat barangan segar pada harga murah.

“Kita memang sokong program ini. Kalau boleh setiap minggu kita mahu adakan kerana program ini menjimatkan belanja penduduk,” katanya.

Inisiatif jualan murah itu dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dengan melibatkan memperuntuk RM10 juta.

Bermula 6 September sehingga 6 Disember hadapan, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :