Aksi Siti Natasha Mohd Basri yang menyumbang pingat emas ke enam buat kontinjen Selangor di Arena BMX Nasional, Nilai. Foto Facebook MSN Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Atlet SUKMA negeri bersemangat, serlah prestasi membanggakan

SHAH ALAM, 19 SEPT: Atlet Selangor yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 bersemangat dan menunjukkan prestasi yang baik setakat ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman yang juga ketua kontinjen berkata beliau berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan atlet sepanjang berlangsungnya temasya sukan itu bermula 16 September lalu.

“Semangat mereka sangat bagus dan begitu juga dengan hal lain seperti logistik. Selain pingat emas atlet terlibat juga banyak menyumbang perak dan gangsa.

“Kesihatan mereka juga berada pada tahap memuaskan walaupun ada yang mengalami sedikit kecederaan. Semuanya masih terkawal dan mereka menunjukkan prestasi baik,” katanya kepada SelangorKini.

Untuk temasya kali ini, Selangor menyasarkan 40 pingat emas, 40 perak dan 45 gangsa untuk SUKMA ke-20 yang berlangsung mulai 16 hingga 24 September ini.

Seramai 490 atlet dan 75 jurulatih mengambil bahagian dalam 30 jenis sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA ke-20.

Selangor kini berada di kedudukan ketujuh dengan memenangi tujuh pingat emas, 17 perak dan sembilan gangsa.

Kontinjen negeri memulakan cabaran dalam temasya dwitahunan itu dengan memperoleh emas pertama disumbangkan atlet wushu Mandy Cebelle Chen.


Pengarang :