Kakitangan LUAS meletakkan beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO gesa pemaju patuh syarat lesen, elak risiko sungai tercemar

SHAH ALAM, 26 SEPT: Pemaju projek pembangunan digesa mematuhi syarat pelesenan sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelak risiko pencemaran sungai di negeri ini.

Ini kerana, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kualiti air terutama di lembangan sungai utama dipengaruhi aktiviti perindustrian, pembinaan lebuh raya, pertanian dan penternakan.

“Ketidakpatuhan syarat lesen atau kebenaran oleh pemilik projek akan memberi impak besar terhadap kualiti sungai negeri ditambah sikap tidak bermoral sesetengah pihak yang mengambil mudah membuang sisa berjadual ke dalam lurang sistem pembentungan serta melupuskan sampah haram di tebing sungai.

“Justeru saya menyeru semua pemain industri dan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap aktiviti yang dijalankan. Aktiviti tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada kita sendiri dan jutaan lagi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 di bawah inisiatif Friends of River (FoR) daerah Klang di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang semalam.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pada 2020 dengan menaikkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak lebih tiga tahun diharap memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Mana-mana pesalah disabitkan perlu membayar segala kos pembaikan dan pemulihan pencemaran yang dilakukan,” katanya lagi.


Pengarang :