EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menandatangani plak perasmian ketika merasmikan Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 8 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Negeri sasar RM100 juta transaksi, tarik 200 syarikat sertai Selhac 2023

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Sejumlah RM100 juta nilai padanan perniagaan disasarkan pada penganjuran Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) tahun hadapan.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai berdasarkan kutipan tahun ini melebihi RM37 juta ketika berlangsung pada Mac.

“Tahun ini kita sediakan 100 reruai tetapi tahun hadapan kita bakal gandakan jumlah bagi membolehkan 200 syarikat terlibat.

“Kita yakin mampu capai jumlah sasaran ini kerana Selangor mempunyai potensi besar dalam industri halal malah ramai peniaga juga memohon sijil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) ke-18 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni membuat lawatan ke reruai pameran selepas merasmikan Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 8 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebanyak 20 syarikat pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, penjagaan diri, kesihatan, pendidikan dan logistik mengambil bahagian di Pavilion Selangor.

Selhac yang berlangsung selama tiga hari pada Mac lalu mencatat transaksi bernilai RM37.73 juta, melebihi jangkaan awal sebanyak RM20 juta.

Program turut menyediakan forum serta ekspo kepada pengunjung selain pempamer membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

Orang ramai melawat reruai Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 8 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :