Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar (tengah) dan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) menyerahkan cenderahati kepada peniaga sempena perasmian Medan Selera Puchong Permai, Subang Jaya pada 25 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pantau kebersihan medan selera, tamat kontrak peniaga premis kotor

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran menjalankan pemeriksaan mengejut disemua medan selera bagi memastikan premis tersebut sentiasa bersih.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata PBT mempunyai beberapa kriteria ditetapkan untuk peniaga mengamalkan pengendalian premis yang bersih sepanjang masa.

“Peniaga perlu jaga kebersihan manakala PBT boleh buat pemeriksaan mengejut. PBT boleh menamatkan kontrak peniaga sekiranya premis masih kotor setelah beberapa kali pemeriksaan.

“Masyarakat pula disaran untuk tidak pergi ke premis yang kotor sebagai antara usaha mengingatkan peniaga supaya menjaga kebersihan,” katanya ditemui pada majlis perasmian Medan Selera Puchong Permai di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Siti Mariah mencadangkan peniaga di medan selera supaya mempelbagaikan menu untuk untuk menarik minat pelanggan.

“PBT telah menyediakan premis yang cukup selesa dengan kemudahan tandas dan surau kepada peniaga dan pengunjung. Oleh demikian, peniaga perlu berusaha mencipta suasana selesa supaya medan selera menjadi tarikan.

“Penting kepada mereka menjaga medan selera dan kemudahan diberikan supaya lebih ramai pengunjung terima manfaat dan berasa selesa,” katanya.


Pengarang :