EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim (dua,kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kiri) menyaksikan Majlis memorandum persefahaman Seniman yang diwakili Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil (dua,kiri) dengan Persekutuan Penerbangan Sukan Malaysia (MSAF) yang diwakili Presidennya Nuhaqimy Ismail (kanan) sempena Pameran Udara Selangor di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Potensi nilai transaksi pameran udara negeri lepasi sasaran, capai RM1.7 bilion

SHAH ALAM, 10 SEPT: Potensi nilai transaksi di Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022) melebihi sasaran apabila mencapai RM1.7 bilion, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata jumlah transaksi itu lebih baik dan besar berbanding tahun sebelumya RM100 juta.

“Dua hari lalu kita sudah mencapai RM800 juta dengan 14 memorandum persefahaman (MoU) melibatkan beberapa negara yang menyertai pameran antaranya Nigeria dan Republik Czech.

“Pada pagi ini transaksi melebihi RM1.7 bilion dan dijangka jumlah ini akan bertambah kerana ada juga syarikat yang ada MoU tetapi tidak memaklumkan kepada penganjur,” katanya hari ini.

Beliau berkata dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU dan memorandum perjanjian (MoA) antara beberapa syarikat dalam pameran tersebut yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Tambah Chang Khim, pemeteraian MoU kali ini turut melibatkan sektor seni menerusi MoU antara Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil dengan Persekutuan Penerbangan Sukan Malaysia (MSAF) yang diwakili Presidennya Nuhaqimy Ismail (kanan)

“Dalam penerbangan bukan sahaja melibatkan perniagaan penerbangan tetapi turut melibatkan teknologi dron yang boleh diguna dalam pertanian, pertahanan dan kaji cuaca.

“Dengan kerjasama seniman menunjukkan kesan-kesan penggunaan teknologi yang betul dan pameran ini menjadi platform kepada sektor-sektor lain,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyasarkan potensi nilai transaksi RM1 bilion sepanjang tiga hari SAS 2022 membabitkan pemeteraian 24 MoU bersama subsektor industri aeroangkasa.

 


Pengarang :