Murid-murid Tahun Lima menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka semasa tinjauan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh 17 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Fasa pertama pemasangan lokar sekolah dilaksana hujung bulan ini

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Fasa pertama pemasangan lokar di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi akan dilaksanakan mulai akhir bulan ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pemasangan lokar secara berperingkat itu dilaksanakan sebagai salah satu daripada tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani isu beg berat murid sekolah.

Katanya, fasa pertama pemasangan lokar adalah untuk murid Tahun Satu dan Dua dan menjangkakan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya menjelang Oktober ini.

“Senarai sekolah pada fasa pertama belum dimuktamadkan dan ia akan diumumkan kelak.” katanya selepas sesi libat urus dengan editor kanan media. di di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Radzi, berkata kebanyakan majlis agama Islam negeri bersetuju agar pakaian seragam sekolah kebangsaan digunakan bagi kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Bagi memperkasakan sekolah harian yang tidak memenuhi kapasiti sebenar jumlah pelajar, Radzi berkata KPM akan menambah baik pembangunan infrastruktur agar sekolah berkenaan akan menjadi pilihan ibu bapa.

“Kaedah ini adalah bagi mengatasi persepsi ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah lebih jauh berbanding sekolah berhampiran kawasan kediaman kerana menganggap sekolah berdekatan kurang berprestasi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :