ADN Kota Damansara Shatiri Mansor bercakap kepada media ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gaji minimum RM1,600: Selangor perlu jadi peneraju bela nasib pekerja

SHAH ALAM, 21 SEPT: Selangor perlu menjadi peneraju dalam membela nasib pekerja ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, kata Ahli Dewan Negeri Kota Damansara.

Shatiri Mansor berkata Kerajaan Negeri diyakini mampu melaksanakan gaji minimum RM1,600 seperti dicadangkan beliau dalam perbahasan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebelum ini.

“Kalau kita tidak mampu laksanakan dengan syarikat swasta, kita boleh mulakan di peringkat syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).

“Saya tahu kita mampu laksanakannya dan Selangor perlu jadi peneraju dalam membela nasib kaum pekerja terutamanya ketika kos kenaikan hidup semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV semalam.

Pada perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Shatiri mencadangkan RS-1 dapat menaikkan kadar gaji minimum berjumlah RM1,600.

Menurutnya, kenaikan itu perlu selepas meneliti isu kos sara hidup yang amat membebankan golongan pekerja dan rakyat secara keseluruhannya ketika ini.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata penetapan kadar gaji itu bagi pekerja di Selangor perlu mengambil kira kedudukan kewangan sesebuah syarikat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Negeri tidak boleh mengumumkan dasar populis kerana dikhuatiri memberi kesan jangka panjang terutama daripada aspek kewangan.


Pengarang :