Seorang guru memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bersama pelajar pada sesi persekolahan 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu pada 9 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guru bersara awal punca sekolah kekurangan tenaga pengajar

KUALA KANGSAR, 23 SEPT: Tindakan guru yang memilih untuk bersara awal sejak kebelakangan ini menyebabkan terdapat sekolah mengalami kekurangan guru bahasa walaupun pengambilan secara one-off atau sekali pengambilan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata KPM bagaimanapun sentiasa komited melaksanakan pelbagai usaha berterusan bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

“Untuk pengambilan one-off sejumlah 18,702 guru, kita telah dapat lebih daripada 100 guru bahasa Cina untuk seluruh negara.

“Jadi, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan jumlah tenaga pengajar yang mencukupi untuk semua sekolah. Pelbagai usaha telah kita ambil dan mana-mana yang sesuai telah kita buat (untuk mengatasi masalah kekurangan guru),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan galeri Tsung Wah dan sesi ramah mesra bersama pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tsung Wah di sini hari ini.

Dr Mah diminta mengulas mengenai masalah kekurangan guru bahasa iaitu bahasa Inggeris, Cina dan Tamil di seluruh negara meskipun 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) tahun lepas.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dipetik berkata KPM meneliti masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di Kelantan yang berlaku sejak sekian lama dalam usaha memastikan murid-murid di negeri ini menerima tenaga pengajar yang memiliki ikhtisas sepatutnya.

Radzi berkata sekolah-sekolah di Kelantan kekurangan seramai 450 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan lebih 200 di sekolah menengah dan kekurangan itu ditampung oleh guru bukan opsyen yang mendapat latihan serta dikenal pasti berkemampuan untuk menyampaikan pengajaran mata pelajaran berkenaan. – BERNAMA

 


Pengarang :