Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Had baharu layak dapat air percuma bantu lebih ramai penduduk

AMPANG, 1 SEPT: Had kelayakan skim air percuma yang dinaikkan kepada pendapatan bawah RM5,000 bakal memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk kawasan bandar.

Kakitangan awam, Adi Mohd Noor, 44, berkata ketetapan baharu itu meringankan beban rakyat terutama mereka yang mempunyai tanggungan besar termasuk anak bersekolah.

Adi Mohd Nor

“Ada keluarga memperoleh gaji lebih RM4,000 tetapi tanggungan ramai, yang bekerja hanya seorang. Mereka perlu keluarkan belanja yang tinggi setiap bulan.

“Bila had dinaikkan (RM5,000), mereka boleh nikmati air percuma setiap bulan. Jadi duit untuk kos air itu boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu pekerja swasta Rosnani Hamzah, 45, berkata air percuma yang bakal memanfaatkan 100,000 pengguna lagi membantu lebih ramai rakyat berjimat terutama ketika berdepan isu kenaikan harga barang.

“Ini langkah tepat. Sekarang banyak harga barang, makanan naik. Rakyat perlu dibantu dan ini antara langkah tepat. Semoga lebih banyak lagi bantuan dihulurkan Kerajaan Negeri kepada penduduk,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar mengumumkan kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati skim air percuma 20 meter padu dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan itu berikutan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Ketika ini, sebanyak 237,000 akaun pengguna menikmati Skim Air Darul Ehsan dengan pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024.

Syarat kelayakan lain meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.


Pengarang :