Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hadiah Sastera Selangor dapat sambutan, terima peserta luar negara, golongan profesional

SHAH ALAM, 11 SEPT: Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2021 menerima hampir 200 karya dari pelbagai pihak termasuk golongan profesional antaranya pensyarah dan profesor pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berkata anugerah berkenaan juga menarik penyertaan penggiat seni dari Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree berucap sempena Hadiah Sastera Selangor 2021 di The Saujana Hotel, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“HSS satu-satunya anugerah sastera yang membuka penyertaan merentasi sempadan negeri dan negara. Kami terima karya dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak serta negara jiran.

“Banyak penyertaan diterima dari pelbagai lapisan masyarakat, pelajar sekolah, guru, mahasiswa, pensyarah dan profesor institusi pengajian tinggi malah ahli parlimen dan bekas menteri turut mengirim karya masing-masing,” katanya ketika berucap sempena malam HSS 2021 di Hotel Saujana Kuala Lumpur, dekat sini malam tadi.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut dihadiri Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Mohamed Fareed berkata pertandingan dianjur bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, jurnal kebudayaan Svara dan halaman media sosial Tukang Puisi akan menambah kategori novel pada tahun hadapan.

HSS yang bermula pada 2015 dalam genre cerpen, sajak dan esei diperkenalkan Amirudin ketika menyandang jawatan EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan.

Karya yang dinilai setiap tahun sejak tarikh itu pernah diterbitkan dalam akhbar mingguan atau portal berita Selangorkini yang diterbitkan oleh Media Selangor Sdn Bhd, agensi rasmi penerangan Kerajaan Negeri.

Namun mulai 2021, demi meluaskan pembabitan penulis dan meningkatkan lagi mutu karya, Selangorkini tiga lagi penerbit bagi menjayakan Hadiah Sastera Selangor 2021.

Usaha baharu ini diambil sejajar dengan cadangan kumpulan juri Hadiah Sastera Selangor 2020 seperti dibentangkan dalam majlis anugerah yang disiarkan dalam talian pada 20 Julai 2021.

Bagi setiap kategori, seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM1,000. Karya kumpulan pemenang ini dirakam dalam buku Si Pena setiap tahun selepas majlis anugerah dan dilancarkan pada majlis tahun berikutnya.


Pengarang :