Kerajaan Selangor juga menyalurkan bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 400 penduduk Morib bakal terima bantuan bulanan RM300

KUALA LANGAT, 4 SEPT: Hampir 400 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib bakal menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) berjumlah RM3,600 setahun.

Ahli Dewan Negeri Hasnul Baharuddin berkata setakat ini 280 penerima sudah dikenal pasti dengan kesemuanya merupakan bekas penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

“Kita mendapat lebih 800 permohonan sejak inisiatif dibuka pada 1 Julai. Namun kuota DUN hanya kepada 386 penerima yang melayakkan mereka mendapat bantuan RM300 sebulan.

“Jadi kita akan berunding dengan Kerajaan Negeri supaya ada tambahan peruntukan untuk DUN Morib memandangkan ramai penduduk memerlukan bantuan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada majlis Selangor Agro Market Jawafest 2022 di Taman Sri Putra dekat sini semalam.

Bingkas dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Pada 1 Ogos, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas diagihkan menerusi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :