Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Flat Laksamana, Kampung Laksamana pada 30 September 2022. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 500 penduduk hadir jualan murah di DUN Sungai Tua

GOMBAK, 30 SEPT: Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua mendapat sambutan apabila hampir 500 penduduk hadir membeli barangan asas yang dijual murah.

Berlangsung di Flat Laksamana, Kampung Laksamana, di sini, orang ramai beratur seawal jam 7.30 pagi menunggu lori yang membawa barangan meskipun program tersebut bermula jam 9 pagi.

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Hasri Abu Hassan

Penolong Pengurus Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Hasri Abu Hassan berkata susulan sambutan diterima, jualan murah diawalkan 10 minit berbanding jadual asal.

“Inisiatif jualan murah sememangnya dinanti-nantikan rakyat sebab mereka tahu harga ditawarkan program Jelajah Ehsan Rakyat memang murah.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan barangan tumpuan seperti telur, ayam dan ikan laris,” katanya ditemui SelangorKini pada program tersebut.

Beliau berkata penduduk turut mencadangkan inisiatif tersebut diteruskan pada tahun depan termasuk menambah jenis barangan yang dijual.

“Kerajaan Negeri sentiasa mendengar pandangan rakyat. Insya-Allah kita sentiasa berusaha membantu serta meringankan beban rakyat Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk  program tersebut di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Program anjuran PKPS menjelajah ke sembilan lokasi setiap hari kecuali Isnin, dengan menjual barangan keperluan harian pada harga murah.

Jualan murah tersebut menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :