Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) memasang bendera parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN gesa kerajaan tarik dakwaan jenayah terhadap pengamal media

SHAH ALAM, 15 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan menarik balik dakwaan jenayah terhadap dua pengamal media The Edge berkait siri artikel jual beli saham di Bursa Malaysia.

Sebaliknya, saman sivil boleh difailkan terhadap media tersebut jika artikel jual beli saham murah (penny stock) yang dipercayai dimanipulasi memberi kesan kepada mereka.

“Kami menuntut kerajaan untuk menarik balik dakwaan jenayah ini, dan jika pihak yang terkesan punyai keinginan mereka boleh memfailkan saman sivil terhadap media tersebut.

“Media memainkan peranan yang amat penting terutama dalam usaha semak imbang dan menjamin ketelusan urustadbir, termasuk dalam bidang ekonomi,” kata HARAPAN dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching dan Ketua Penerangan UPKO Joisin Romut.

Mereka juga menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung jaminan kebebasan media “indah khabar dari rupa”.

HARAPAN menegaskan parti politik tidak sepatutnya mencampuri urusan media kerana ia tanggapan tidak baik terhadap kebebasan pelaporan serta agenda politik organisasi tersebut kelak.

Pada 13 September, NSTP mengumumkan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai pengarang kumpulan baharu bagi menggantikan Ahmad Lokman.

Penukaran jawatan itu didakwa akibat campur tangan politik dalam urusan syarikat media berkenaan.

Sementara itu, bekas ketua pengarang The Edge Ahmad Azam Mohd Aris dihadap ke mahkamah atas dua pertuduhan memfitnah menerusi artikel yang disiarkan akhbar niaga itu.

Ahmad Azam dan bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memfitnah seorang bergelar Datuk dan empat syarikat menerusi penyiaran dua artikel bertarikh 21 hingga 27 September 2020.


Pengarang :