Nurul Amira Suhaimi, 27, mendapatkan bekalan minyak masak di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga siling minyak masak botol turun kepada RM33.50 mulai 8 September

PUTRAJAYA, 1 SEPT: Harga siling minyak sawit botol lima kilogram diturunkan kepada RM33.50 daripada RM34.70 bermula 8 September hingga 7 Oktober, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata harga minyak masak botol tiga kilogram pula diturunkan kepada RM21.10 daripada RM21.70, botol dua kilogram daripada RM14.70 kepada RM14.30, manakala botol satu kilogram daripada RM7.70 kepada RM7.50.

“Penurunan ini berasaskan kepada harga minyak sawit mentah (CPO) pada Ogos iaitu RM4,169 per tan metrik.

“Harap tidak timbul kekeliruan walaupun harga minyak sawit naik sedikit berbanding Julai iaitu pada RM4,060 per tan metrik kerana mengambil kira RM2 yang diserap yang diberikan sebelum ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Turut hadir anggota pasukan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Annuar berkata selidikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 15 perkara mempunyai wajaran tinggi menyumbang kepada inflasi antaranya bayaran sewa, petrol RON95, bil elektrik, kos prabayar, rokok, makanan berasaskan mi, langganan Astro, harga ayam goreng dan ayam segar serta insurans kenderaan.

Menurutnya pasukan khas akan mengambil langkah proaktif untuk melihat kepada setiap satu perkara berwajaran tinggi menyumbang kepada inflasi itu, supaya ada tindakan susulan dan awalan dilakukan secara berterusan.

“Urus setia dan DOSM akan melihat kepada aspek ini dan menggariskan apakah tindakan yang mungkin boleh dilakukan termasuk yang bersifat advokasi dan tindakan lain.

“Dalam kata lain, jawatankuasa perlu mula memperluaskan peranan selain daripada menumpukan kepada harga beberapa barang makanan tertentu. Ini kerana laporan (DOSM) menunjukkan selain kos barang makanan, kos yang terkait dengan pengangkutan dan perumahan adalah antara kos yang menyumbang kepada inflasi,” katanya.

Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata walaupun kadar inflasi negara meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada Julai 2021, kadar itu masih terkawal dan Malaysia masih mengekalkan kedudukan sebagai negara rendah inflasi.

Sementara itu, Mustapa berkata tiga perkara yang menyumbang kira-kira 70 peratus kepada wajaran inflasi adalah makanan dan minuman; perumahan termasuk caj air, elektrik dan gas; serta pengangkutan.

Katanya DOSM akan meneliti perkara tersebut untuk melihat kaedah mengawal inflasi kerana hakikatnya tiga perkara itu mempunyai wajaran tinggi kepada inflasi.

Menurut Mustapa jabatan itu juga telah memulakan kajian untuk melihat kos sebenar rantaian pengeluaran ayam melibatkan penternak, pemborong dan peruncit supaya kerajaan mempunyai panduan yang lebih tepat mengenai kos sebenar. – BERNAMA

 


Pengarang :