Seramai 600 pelajar dari 24 sekolah di Selangor yang menyertai sambutan Hari Kebangsaan ke-65 menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 12 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hari Sukan Negara disambut 7 hingga 9 Oktober

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 7 hingga 9 Okt ini dengan perasmiannya dijadualkan pada 8 Okt di Putrajaya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini berkata antara program pengisian  HSN2022 adalah Putrajaya Night Marathon HSN2022, Karnival Sukan Air, Karnival Sukan Mendaki Kebangsaan,  Kejohanan e-sukan, Let’s Get Fit, M-Games, Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur dan Kejohanan “Powerboat” ASEAN.

HSN2022 juga turut melibatkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan NGO bagi memastikan penglibatan rakyat Malaysia di semua peringkat.

Bagi tujuan penyelarasan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sukan Negara yang dihadiri barisan exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri dan wakil kementerian serta jabatan berkaitan.

HSN2022 dijangka menarik penyertaan seramai 4.5 juta orang dengan pecahannya seramai 1.3 juta di peringkat kebangsaan, 345,404 di negeri dan lebih dua juta orang di daerah selain Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) seramai 200,000 orang.

Hari Sukan Negara adalah acara tahunan KBS bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk menggalak dan menjadikan Malaysia negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan serta menjadikan sukan sebagai satu budaya.

Sebagai rekod HSN2021 disambut di seluruh negara secara hibrid susulan pandemik COVID-19 sementara HSN2020 terpaksa dibatalkan ekoran wabak itu.

Edisi pertama HSN pada 2015 yang menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan jumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.

— BERNAMA

 


Pengarang :