Skuad Bawah 19 tahun kebangsaan tewas 6-2 ketika berdepan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia B-20 di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF), Ulaanbaatar pada 18 September 2022. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDANASIONAL

Harimau Muda terlepas peluang beraksi di Piala Asia B20

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Skuad Bawah (B) – 19 tahun kebangsaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di Piala Asia B-20 tahun depan selepas dibelasah 6-2 oleh Korea Selatan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF), Ulaanbaatar, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan itu, penyerang Suwon FC Lee Youngjun menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Muda, apabila meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-34, 74 dan 81.

Korea Selatan turut berpesta gol menerusi dua jaringan Lee Seungwon pada minit ke-57 dan penalti pada minit ke-88, manakala Bae Junho turut menepati sasaran pada minit ke-50.

Malaysia pula merapatkan jurang menerusi jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-55 dan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-68, manakala Ubaidullah Shamsul dibuang padang pada minit ke-67 selepas menerima kad kuning kedua.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara gagal menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan dua teratas, selepas Mongolia membelasah Sri Lanka 7-0 pada aksi selepas itu untuk meraih tempat kedua kumpulan berdasarkan jumlah jaringan, walaupun kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.

Skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras yang memulakan kempen dengan seri 1-1 menentang Mongolia, sebelum menewaskan Sri Lanka 3-0, mengumpul enam gol, kurang satu berbanding skuad tuan rumah.

Korea Selatan telahpun mengesahkan slot ke kejohanan itu selaku juara kumpulan, selepas berpesta gol 6-0 ke atas Sri Lanka dan 7-0 menentang Mongolia.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik berpeluang layak ke pusingan akhir di Uzbekistan yang dijadual berlangsung bermula 1-18 Mac depan. – BERNAMA


Pengarang :