Pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Klang mengibarkan Jalur Gemilang pada program Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hasil negeri untuk rakyat, Selangor adil jaga kebajikan semua

SHAH ALAM, 9 SEPT: Selangor memiliki 42 program berorientasikan rakyat menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memelihara kebajikan penduduk negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu menunjukkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memenuhi kehendak rakyat mengikut keperluan semasa.

“Kerajaan Negeri mengamalkan sikap adil dan saksama bagi melindungi semua lapisan masyarakat.

“Sepenuh komitmen diberi untuk membantu masyarakat dari segenap aspek termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan tanpa ada yang tertinggal,” katanya di Facebook.

Beliau menambah Selangor juga sentiasa beradaptasi dengan pelbagai cabaran supaya kekal maju dan tahan uji sekali gus mampu mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.

Amirudin menjelaskan usaha tersebut juga terbukti menguntungkan apabila Selangor kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

ISP meliputi 12 program kebajikan keluarga, kesihatan (10), pendidikan (lapan), perumahan (tujuh) dan pekerjaan (lima) dengan peruntukan lebih RM600 juta.

Selain memperkenal program baharu untuk kebajikan rakyat, inisiatif berkenaan turut ditambah baik daripada manfaat sedia ada mengikut golongan sasaran.

 


Pengarang :