AGENDANASIONAL

Hujan lebat dijangka landa tiga daerah di Selangor hingga 3 petang

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan tiga daerah di Selangor sehingga 3 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan daerah berkaitan adalah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Situasi sama dijangka berlaku di seluruh Pulau Pinang serta Kedah meliputi Langkawi, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Sik.

Perak pula di Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameorn, Lipis dan Raub), Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin), Melaka (Jasin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :